Wednesday 9 July 2014

Masak lemak cili api dengan maman- Negeri's specialty

Masak lemak cili api ikan parang dengan jeruk maman

Dah beberapa hari saya tak update blog  ini, dah banyak sangat kerja yang perlu dibereskan sehingga tak sempat-sempat pulak. Untuk buka puasa, saya jarang masak yang hebat-hebat, jadi tiadalah gambar yang nak dituukkan. Tetapi, sebab gambar gulai maman ni ada dalam komputer, jadi, hari ini saya nak perkenalkan masakan asli Negeri Sembilan, iaitu masak lemak cili api ikan parang dengan jeruk maman. Lidah minangkabau saya memang tak boleh lari daripada masakan kampung ini sebab ibu saya berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. Okaylah, mungkin ramai tak tahu jeruk maman tu apa? Jeruk maman ialah jeruk sayur.


Nilah dia maman (Gambar google)

Daun maman segar (google)

      Macam kita jeruk sawi dan kobis, tapi maman ni kena jeruk dengan air nasi dan letak sedikit garam kasar. Apa yang saya selalu buat ialah saya ambil setengah cawan nasi, saya rebus dengan 1 sehingga 2 1/2 cawan air biasa. Selepas itu, kita letak sedikit garam kasar. Kemudian tapis air tersebut. Biarkan sejuk. Oh ya sebelum tu kita kena siang maman tu, I mean bersihkan, patah-patahkan batang yang lembut. Basuh dan toskan. Selepas itu, masukkan dalam botol plastik atau kaca, isi air rebusan nasi tadi. Tutup botol ketat-ketat. Simpan dalam peti sejuk dalam 2-3 hari.. Kemudian, bolehlah kita guna jeruk maman yang dah cukup harinya.

Ini resepi masak lemak cili api ikan parang dan jeruk maman.

Bahan-bahan :

1) Seggenggam cili api kampung (guna yang merah dan hijau)
2) 1 1/2 inci kunyit hidup
3) ulas bawang kecil (hiris)
4) 1- 2 sudu kecil garam kasar (ikut citarasa ya)
5)1 asam keping (asam gelugor)
6) 1 biji kelapa (ambil santannya- mungkin dapat dalam 1 dan 1/2 cawan yang pekat dan yang agak-agak kurang pekat dalam 1/2 cawan)
5) 2 keping ikan parang- dicuci bersih
6) Jeruk maman


Cara-cara:

1) Tumbuk cili api dan kunyit hidup bersama garam kasar tadi
2) Letakkan 1-2 sudu besar air untuk sebatikannya
3) Panaskan periuk, masukkan cili api dan kunyit tumbuk tadi.
4) Tumis bagi kering sedikit, jangan biar hangus. Kecilkan api dapur, kemudian masukkan santan pekat tadi, masukkan ikan parang dan asam keping.
5) Biar menggelegak sedikit, tapi tetap dikacau dengan senduk kayu ya. Api biar kecil. Masukkan santan yang kurang pekat tadi.
6) Toskan jeruk maman dalam segenggam, masukkan di dalam gulai tersebut. Kacau perlahan-lahan, jangan sampai pecah minyak. Masukkan bawang kecil hiris. Kacau gulai tersebut  dalam 5-6 minit, kemudian bolehlah padamkan api. 

Nota: Yang penting, masak gulai Negeri ini tak ada short cut. Kalau nak guna santan dah siap pun boleh, tetapi kena tambah air dalam 1 1/2 cawan. Memang apa yang saya warisi, tak pakai tumbuk2 bawang ni semua- cukup sekadar hiris. Kalau makan nasi panas, dilawankan dengan ikan masin dan sambal belacan memang cukup terangkat.


Baiklah, salam ramadhan buat kali ini dan selamat mencuba.




Wednesday 2 July 2014

Salam Ramadhan, ini yang pertama .....

Lodeh kering aka sambal jawa

Akhirnya hajat di hati saya untuk membuat blog dalam Bahasa Melayu tercapai jua. Awal penglibatan saya dalam dunia blogging, saya memang suka menulis dalam Bahasa Inggeris. Tak tahulah kenapa, mungkin rasa macam agak janggal untuk menulis dalam Bahasa Melayu. Tetapi, sejak akhir-akhir ini, keinginan untuk menulis dalam bahasa ibunda begitu memuncak. Sebenarnya, saya mendapat ilham untuk menulis kembali dalam Bahasa Melayu kerana saya sedih melihat banyak resepi Melayu yang makin hilang ditelan zaman. Saya rasa alangkah baiknya jika ada pembukuan tentang resepi asli masakan dan kuih-muih Melayu. Maka, inilah saat yang paling sesuai. iaitu bulan Ramadahan yang penuh barakah ini.

  Seronok rasanya bertemu dengan Ramadhan Al Kareem. Cuaca tahun ini pula agak panas, membuatkan saya mudah berasa letih. Yeah, most of the time. Sepanjang bulan Ramadhan ini, saya berazam untuk mengurangkan pembaziran. Jadi banyaklah resepi yang saya cuba untuk juadah berbuka puasa. Oh ya, semalam kan hari ketiga kita berpuasa, jadi  saya telah masak sambal goreng jawa ataupun lodeh kering. Tiba-tiba aje teringat ni.. Bila makan dengan nasi panas, memang sedap. Saya tambah isi ayam dan juga udang dan petai. Memang berselera, nak-nak masa sahur. Makan nasi sikit, tambah pulak dengan lodeh kering ni, memang sedaplahkan.  Resepi ini saya ambil daripada blogger kesukaan saya iaitu Kak Jee atau Fauziah Samad, iaitu bekas wartawan dan juga pelakon sitkom Santan Berlada yang cukup terkenal suatu ketika dulu.. Saya  ikut betul-betul resepi Kak Jee . Ini dia resepinya - sambal goreng jawa Kak Jee.

Sebenarnya banyak resepi Kak Jee yang saya dah cuba dan buat. Memang sangat menjadi, semoga Allah memberkati orang seikhlas Kak Jee. Sebenarnya banyak resepi yang saya cuba kongsikan di sini, tetapi untuk entri pertama ini cukup ini sahaja ya.

Salam ramadhan yang penuh barakah (google)

 Rasanya cukuplah buat kali ini ya. Esok kita cerita lain pulak.....

Link Within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...